Latar Belakang

Sistem Pengurusan Maklumat Pesisiran Pantai Negara (e-PESISIR) merupakan satu aplikasi web-GIS berteraskan kepada penggunaan teknologi Remote Sensing, GIS dan ICT yang dibangunkan melalui kerjasama antara Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA). Projek yang mula dilaksanakan pada tahun 2012 ini bertujuan untuk membantu JPSM dan Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) dalam merancang, melaksana dan memantau aktiviti-aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan pesisiran pantai negara.

Sistem ini berperanan sebagai pangkalan data yang merekod, menyimpan dan menyediakan maklumat bersepadu termasuk imej satelit beresolusi tinggi dan terkini bagi memudahkan proses perolehan maklumat yang diperlukan dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan pesisiran pantai negara.

Konsep dan maklumat pembangunan sistem ini berupaya membantu pengemaskinian data pemetaan berkenaan dengan:

  • Kestabilan pesisiran pantai berdasarkan tahap pemulihan spesies pokok;
  • Lapisan kawasan perlindungan pesisir pantai yang terpulih dan;
  • Zon penampan iaitu lebar kawasan tanaman pesisir pantai.

Sistem ini juga berfungsi sebagai alat bantuan dengan meneliti dan mengambilkira keperluan dari perspektif perancangan dan pelaksanaan penanam pokok-pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di pesisiran pantai negara.